17 February 2011

Universiti kosong = makna? + harapan?


Kedatangan ke universiti penuh bermakna dan harapan. Apatah lagi bagi mereka yang datang jauh daripada kampung dan juga merupakan anak sulung keluarga tercinta. Perjalanan masuk sebagai anak atau ahli keluarga pertama yang menjejak langkah ke menara gading semestinya mendatangkan kebanggaan dan harapan kepada ibu dan ayah serta keluarga.

Tapi apakah harapan ini? Apakah harapan yang ingin dikecapi? Agak menyedihkan ramai yang tidak mempunyai hala tuju dan hanya setakat statistik yang mengisi kekosongan senarai dalam kertas contengan di kementerian pengajian tinggi. Apa yang sepatutnya menjadi satu kebanggaan dan harapan kepada keluarga dan masyarakat dan lebih penting lagi pelajar itu sendiri kemudiannya hancur berkecai selepas beberapa minggu atau bulan pertama universiti.

Masa dihabiskan dengan menghadiri kelas tanpa sebarang hala tuju. Mungkin lebih ramai lagi yang mengambil peluang 3 atau 4 tahun ini setakat untuk mendapat sekeping sijil yang apabila keluar dari universiti nanti tidak sama sekali bernilai.

Mungkin ada yang tidak faham tetapi ini hakikatnya. Mereka yang masuk tanpa hala tuju akan keluar tanpa hala tuju. Mereka yang masuk kerana ingin perolehi sijil sahaja akan keluar dengan sijil sahaja. Tiada yang lebih tiada yag kurang.

Sebab yang penting hanya apa yang dapat dilihat, yang dapat dipegang, yang dapat dirasa. Pemahaman dan pemikiran kita terhadap dunia terlalu sempit dan lemah atau mungkin tiada langsung. Tiada pemahaman, tiada pemikiran. Sebagaimana cacing buta yang hidupnya dalam tanah beginilah mereka yang pergi ke kelas tiap-tiap hari ulang alik tanpa membawa kepala.

Dunia berkembang pesat, tetapi semangat manusia adalah lemah. Semangat orang muda lemah. Semangat mahasiswa lemah. Ditendang sana sini tanpa hala tuju. Di arah seperti lembu yang meragut rumput di padang tani. Apakah maknanya universiti? Universiti yang hanya kosong tanpa harapan. Di isi manusia tak bermaya. Di isi fikiran yang sepatutnya berguna, tetapi tidak berguna yang tidak diguna.

Hidup di universiti membawa erti bermulanya perjuangan untuk mencari makna, untuk mengenal diri. Adakah mereka yang bakal digelar mahasiswa bersedia untuk dan sanggup menghadapi perjuangan ini?

"Gelombang Mahasiswa, Meneraju Perubahan Bersama"

No comments:

Post a Comment