24 February 2011

apa itu IDEOLOGI??

Hal apakah yang mengerakkan masyarakat? Soal apa pula yang menyebabkan mereka bertempur di jalan Masjid Jamek dan lorong – lorong maut di Gaza? Apakah yang menyebabkan tumbangnya kepimpinan di asia tengah sekarang? Apakah yang diperjuangkan? Apakah yang membentuk fikiran dan kepercayaan yang menjelmakan tindakan – tindakan sedemikian? Bagaimana pula kepercayaan yang serupa meresap masuk dalam jiwa mereka yang lain lalu membentuk gerakan massa yang mampu melanggar apa sahaja kekuatan yang melintanginya?Sejak berzaman lagi manusia berjuang demi kepercayaan mereka, namun kepercayaan ini bukan hanya percaya semata, ia jauh lebih suci dari itu. Melangkaui masa, merentas benua, menyeberangi agama. Dan bagi yang terkesima akannya, perjuangan kerananya itu cukup romantis.
Perjuangan demi ideologi.

 Ideologi secara literalnya adalah gabungan dua perkataan Greek, eidos yang bermaksud “perkataan” dan logos yang bermaksud “pengetahuan”. Maka umumnya kita dapat takrifkan ideologi ini sebagai kata-kata tentang pengetahuan . Sarjana Perancis, Antoine Louis Claude Destutt de Trargent Tracy (1754-1836) mentakrifkan ideologi sebagai kajian tentang proses mengeluarkan idea yang membawa kepada satu sistem nilai yang diterima sebagai fakta atau benar bagi sebahagian masyarakat dan mengandungi satu set sikap terhadap institusi dan proses dalam masyarakat. Sesungguhnya, berasa benar inilah yang menyebabkan sering terjadi pertembungan dalam sejarah peradaban. Mereka yang menganut Marxist berasakan mereka benar, Kapitalis juga mengaku benar dan mereka berjuang demi benar itu. Namun, hal ini tidak harus dilihat negatif, kerana pertembungan begini mampu saja melahir dialetik sejarah. Tanpa dialetik ini, sejarah akan mati, sebagaimana yang disebut oleh Fokuyama itu.

Terrence Ball pula memberi takrifan yang lebih longgar tentang ideologi. Menurut beliau, ideologi adalah agenda mengenai sesuatu untuk diperbincangkan, soalan untuk ditanya, hipotesis untuk dibuat dan kita sepatutnya mampu mengaplikasikannya apabila ia berinteraksi dengan idea dan politik. Harus difahami dengan jelas bahawa ideologi tidak sinonim dengan idea. Maka dapatlah kita fahami bahawa ideology itu tidak static sifatnya. Ia terbuka kepada segala bentuk kritikan dan perbahasan.

Sargent (1990) mendefinisikan ideologi sebagai satu sistem nilai atau sistem kepercayaan yang diterima sebagai fakta atau kebenaran oleh beberapa kumpulan manusia. Ia kemudian membentuk satu set sikap terhadap pelbagai institusi dan proses-proses di dalam masyarakat. Ia menyediakan satu gambaran mengenai dunia kepada penganut-penganut sesuatu ideologi bagaimana keadaan dunia yang sepatutnya atau gambaran dunia seperti sedia ada. Dengan gambaran tersebut, ia menguruskan sistem dunia yang begitu kompleks kepada sesuatu yang lebih mudah dan lebih difahami. Perkataan sistem menggambarkan bahawa ideologi adalah diurus atau satu kepercayaan yang bercorak. Ideologi yang berlainan menghasilkan gambaran dunia yang berbeza dan lebih merumitkan apabila meningkatnya keadaan dunia kepada lebih kompleks akan memberi kesan kepada ketepatan gambaran yang dihasilkan oleh ideologi. Perkataan ideologi pertama kali digunakan pada lewat abad ke-19 oleh sekumpulan pemikir Perancis yang bergelar “The Ideologues” untuk membayangkan satu pendekatan bagi memahami bagaimana idea-idea dibentukRoy C.

Macridis, seorang saintis politik menggariskan empat ciri utama ideologi. Pertama, ideologi bersifat menyeluruh, meliputi idea tentang perkara-perkara pokok dalam kehidupan seperti kedudukan dan taraf manusia di dunia, hubungan dengan Tuhan atau sejarah, matlamat tertinggi sesuatu kumpulan masyarakat atau kerajaan dan kaedah mencapainya. Hal ini biasanya memerlukan satu organisasi besar yang mempercayai perkara-perkara di atas menurut perspektif mereka dan bersungguh- sungguh untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.Keduanya, set- set idea ini harus merebak dan menyerap dalam jiwa setiap ahli masyarakat. Maka ia seharusnya tidak sekadar diketahui untuk satu tempoh yang panjang malah telah menjadi satu bentuk kepercayaan politik dan bertindak terhadap ramai orang. Manusia telah memperkatakan tentang demokrasi, oligarki, autokrasi sejak ribuan tahun dahulu sebelum Masihi lagi dan hal-hal ini telah berakar- umbi dalam masyarakat.
Ketiganya, ia harus bersifat meluas, seperti yang dinyatakan di atas, ideology bertindak melalui massa. Oleh itu set idea ini harus berupaya memobilisasi (mobilizing) masyarakat dan memainkan peranan yang signifikan dalam hal politik dan negara.

Ideologi juga bersifat intensif. Dalam huraian yang mudah, ideologi menuntut pengorbanan dan kesungguhan daripada pengikutnya yang memberi pengaruh yang bermakna (significantly) terhadap kepercayaan dan tindakan politik.Setiap ideology mempunyai perspektif yang tersendiri dalam menilai situasi semasa dan cara ketamadunan manusia ini seharusnya ditadbir. Namun secara umumnya setiap ideology mengutarakan keperluan psikologi asas manusia seperti keselamatan, kebebasan, dan kemasyarakatan. Ideology mengemukakan teori bagaimana keperluan ini harus dipenuhi dan kaitannya dengan keperluan yang lain.

Ideologi menyediakan para pengikutnya satu kaedah memahami sejarah dan masyarakat dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dan tidak. Sebagai contoh, Marxist melihat sejarah seluruh masyarakat di dunia ini tidak lebih daripada perjuangan dan pergelutan kelas dalam masyarakat . pendokong liberal pula melihat sejarah sebagai satu gerakan yang progresif dalam mencapai ekonomi dan social yang setara. Perbezaan – perbezaan ini wujud kerana dinilai dari perspektif yang berbeza. Hal ini menerangkan mengapa setiap ideology itu dikatakan benar. Setiap orang mempunyai tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.

Ideologi adalah perlu kerana ia menjadi kayu pengukur (reference point).Tanpa perspektif untuk menggenggam dunia, kita tidak akan mampu menggerakkannya, demikianlah pentingnya ideology.

Oleh hal yang demikian dapatlah kita fahami bahawa ideology menyediakan satu inspirasi sama ada untuk membawa sesebuah kerajaan itu berkuasa atau perlu digulingkan. Hal ini kerana ideology menentukan system politik yang tertentu serta program social yang dilaksanakan sama ada absah dan berbaloi disokong atau tidak. Perkara ini menjawab soalan mengapa orang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan ideologi mereka. Ideology memberi resolusi terhadap kepincangan semasa dan harapan pada masa depan. Soal realistic atau tidak, terpulang kepada masyarakat untuk menentukannya. Dalam hal yang sama perkataan tersebut telah digunakan oleh pemikir-pemikir sains sosial lain sebagai label kepada cara-cara untuk menghalang mesej-mesej yang mengancam mereka daripada difahami oleh orang ramai. Bagi pemikir-pemikir ini, ideologi-ideologi menghalang orang ramai daripada mengetahui tentang kebenaran mengenai situasi-situasi mereka.Perdebatan mengenai ideologi oleh Karl Marx (1818-1883) misalnya berhujah bahawa ideologi-ideologi membutakan orang ramai mengenai kedudukan mereka di dalam masyarakat. Beliau menggambarkan ideologi sebagai ilusi politik yang dihasilkan oleh pengalaman-pengalaman antara kelas-kelas masyarakat yang tunjangi oleh peranan ekonomi dan Marx seterusnya menggelar ideologi sebagai kesedaran palsu. Terma-terma seperti ideologi politik, teori politik dan falsafah politik kerap digunakan untuk merujuk kepada cara pemikiran yang pelbagai terhadap idea-idea politik.Christenson, Engel, Jacobs, Rejai dan Waltzer (1981) mendefinisikan ideologi politik sebagai satu sistem kepercayaan yang menerangkan dan menjustifikasikan sesuatu susunan politik yang disukai sama ada mewujudkan atau mencadangkan serta menyediakan strategi ke arah pencapaiannya. Ideologi politik bermatlamat menyatukan orang ramai di dalam pertubuhan politik yang berkemampuan melaksanakan tindakan politik berkesan. Ideologi menawarkan satu penterjemahan mengenai masa lalu, penerangan mengenai masa kini dan masa hadapan. Maka ideologilah yang mengerakkan mereka.

No comments:

Post a Comment